Batu Belah Batu Bertangkup

Kisah Batu Belah Batu Bertangkup merupakan sebuah kisah lagenda yang terkenal buat masyarakat Melayu. Batu Belah Batu Bertangkup mendapat nama sempena sebuah bongkah batu besar yang pada lagendanya mempunyai ruang mulut yang ternganga dan terbuka seperti sebuah gua atau batu terbelah dua, namun mengeluarkan suara yang kuat dan menyeramkan, dikatakan ia telah menelan ramai manusia yang memuja-mujanya untuk dimakan dan ditelan.

Penulis Abdul Samad pernah telah menulis buku mengenai Batu Belah Batu Bertangkup (1936). Ia juga telah dijadikan sebagai filim batu belah batu bertangkup

Kisah Batu Belah Batu Bertangkup merupakan sebuah kisah lagenda yang terkenal buat masyarakat melayu, khususnya di malaysia. Ia meceritakan tentang kisah sepasang suami isteri yang miskin, Si Kantan (suami) dan Si Tanjung (isteri) yang dipercayai menetap di Bukit Berapit, kira-kira sebatu dari pangkalan kapal klang . Mereka berdua menyara hidup dengan mengambil upah menganyam atap nipah, bersawah, menganyam tikar, menangkap ikan sungai dan sebagainya sehinggalah berjaya memiliki sebidang tanah dan sebuah rumah.

Pada suatu hari, mereka pergi ke pinggir hutan untuk mencari sayur. ketika sedang asyik memetik daun cemperai, mereka terdengar akan suara yang kuat lagi menggerunkan. Si Kantan memberitahu kepada isterinya bahawa itulah gua Batu Belah Batu Bertangkup sebagaimana pernah diceritakan oleh datuknya suatu ketika dahulu. Selang beberapa tahun kemudian, mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata, seorang anak perempuan Si Bunga Melur namanya dan seorang lagi anak laki-laki Si Pekan gerangannya. Namun, sayang Si Kantan telah meninggal dunia sewaktu anak-anak mereka masih kecil, ini menjadikan Si Tanjung hidup tidak keruan, dan hilang tempat bergantung.

Pada suatu hari, Si Tanjung telah berjaya mengail seekor ikan temakul sementelah dia mengidam telur ikan tersebut. Disuruhnya Si Melur merebus telur ikan itu sementara dia pergi mandi. Apabila telur itu masak, sebahagiannya diberikan kepada Si Pekan dan sebahagian lagi disimpan untuk ibunya. Si Pekan menangis kerana dia ingin makan lagi telur ikan bahagian ibunya sehingga memaksa kakaknya memberikan telur itu kepadanya. Si Melur mendapat sebiji telur ayam untuk mengantikan telur ikan sebagai lauk ibunya. Perbuatan Si Pekan membuatkan Si Tanjung merajuk, terkilan dan amat terkecil hati.

Tanpa memikir panjang dan membuat keputusan terburu-buru, Si Tanjung akhirnya lari meninggalkan rumah, sambil memanggil-manggil nama "Batu Belah Batu Bertangkup" untuk memakan dan menelannya. Walaupun dirayu belas kasihan dengan tangisan oleh Si Bunga Melur yang terus berlari sambil mendukung Si Pekan. Sebagai kanak-kanak, langkahnya tidak secepat ibunya. Sampai di pintu gua batu itu, ibunya sudah ditelan oleh batu itu, Si Melur pun jatuh pengsan.

Sewaktu pengsan, Si Bunga Melur sedang bermimpi didatangi seorang tua menasihatinya supaya tidak pulang lagi ke rumahnya. Sebaliknya disuruh mengambil tujuh helai rambut ibunya yang terjulur itu serta membawa telur ayam yang mahu dibuat lauk ibunya itu. Dia hendaklah berjalan mengikut arah kakinya dan membakar sehelai daripada rambut ibunya setiap kali hendak tidur. Si Melur mendukung Si Pekan meredah hutan belukar dan semak samun sehingga sampai ke rumah Dato’ Penghulu. Orang tua itu bersimpati dan ingin memelihara mereka. Sewaktu tidur, Si Bunga Melur bermimpi didatangi orang tua yang sama menyuruh dia meneruskan perjalanan ke kampung yang ketiga.

Si Bunga Melur dan adiknya Si Pekan meneruskan perjalanan sehingga tiba di Kampung Bukit Perah Lantan, mereka menemui Tok Batin yang melayani mereka dengan baik. Malam itu Si Pekan menangis tanpa henti walaupun dijampi Tok Batin sehinggalah dikalungkan dengan sekeping besi kuning di lehernya. Keesokan harinya Si Bunga Melur meneruskan perjalanan ke Kampung Bukit Kapar dan menumpang bermalam di rumah keluarga seorang petani dan tinggal di situ beberapa malam. Petani itu menceritakan kepada Si Bunga Melur tentang kegemaran Ratu Jayang Sakti menyabung ayam.

Tinggal satu kampung lagi untuk dituju. Si Bunga Melur dan adiknya meneruskan perjalanan dan tiba di Kampung Kerayung Tamarulan, di sini mereka bertemu dengan Nenek Kebayan yang tertarik dan bersimpati dengan penderitaan mereka berdua. Pada malam itu, Si Bunga Melur sekali lagi bermimpi didatangi orang tua yang sama. Kali ini menyuruh Melur meletakkan telur yang dibawa itu ke dalam sangkar ayam di belakang rumah. Tujuh hari lagi telur itu akan menetas dan peliharakanlah anak ayam itu sebaik mungkin. Orang tua itu meramalkan Si Pekan kelak akan menjadi juara ayam tersohor dan meminta Si Bunga Melur meletakkan besi kuning kalung Si Pekan ditaji ayam apabila hendak bersabung kelak.

Beberapa tahun telah berlalu kedua-dua mereka telah meningkat remaja. Si Bunga Melur kelihatan begitu cantik dan pandai mengubah bunga serta annyaman lain untuk dijual oleh Nenek Kebayan sementara Si Pekan sentiasa menang di gelanggang sabung ayam. Kemasyurannya sampai kepada pengetahuan Ratu Jayang Indera Sakti, raja negeri tersebut. Akhirnya Si Pekan diundang bersabung dengan ayam raja di istana. Bertemu ayam Jalak Bukit Berapit kepunyaan Si Pekan dengan ayam raja. Pertaruhannya, Si Pekan akan menjadi hamba raja sekiranya kalah dan berkehendakkan makanan serta pakaian dari istana jika menang.

Seperti biasa, ayam Si Pekan dapat membunuh ayam raja. Hulubalang dan bentara diperintahkan membawakan makanan dan pakaian ke rumah Nenek Kebayan. Di sana mereka terpandang akan kecantikan dan budi pekerti Si Bunga Melur, kakak Si Pekan lantas apabila pulang mereka pun menyembah maklum kepada Sang Ratu. Si Bunga Melur diperintahkan ke istana dan raja akhirnya tertawan dengan kejelitaan dan kesantunan Si Bunga Melur. Si Bunga Melur dikahwinkan dengan raja lalu diangkat sebagai permaisuri. Pada suatu hari Si Bunga Melur dilihat raja bermuram durja dan sentiasa termenung. Raja ingin tahu apa yang difikirkan oleh permaisuri baginda apabila melihat isterinya sedemikian rupa. Akhirnya Si Bunga Melur pun menceritakan tentang Batu Belah Batu Bertangkup yang telah menelan ibunya itu. Rombongan raja hadir ke hadapan gua batu tersebut dan raja sendiri memanah ke dalam gua yang menyeramkan itu. Sejak dari itu tiada terdengar lagi suara seram dan sebarang pergerakan dari batu tersebut.


By.Rizz